Terdapat
banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada
solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah
mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia
difardukan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah S.A.W di langit
iaitu pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Melalui
tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan
kepentingan solat kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali
sehari semalam dalam apa jua keadaan dan ketika.
Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah.
Solat
membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui
kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah
dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan
keselamatan daripada-Nya.
Lihat
sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula
dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan
dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi
Agung. Kenapa tidak? Dengan limpah kurniaan dan nikmat yang
dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan tubuh badan, zuriat,
suami-isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat yang
tidak terhingga?
Baginda
Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi
juga mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh
diamalkan sepanjang kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula
dengan qiyam atau berdiri sehinggalah sebelum kita melafazkan ucapan
salam.
Inilah
yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan
Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan
Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam
pada-Nya.
Maka
tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita
mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan,
permohonan bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak
lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.
Kedua: Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa
Solat
bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda,
malah ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa yang yang lalu.
Inilah
kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.aw yang tidak terdapat pada
umat-umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah pernah
menyatakan agama Islam itu mudah. Mengapa tidak? Umat terdahulu seperti
pada zaman Nabi Musa begitu banyak sekali pantang larangnya. Hendak
makan daging lembu sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh dimakan begitu
sahaja, ada bahagian-bahagian yang ditegah daripada menjamunya.
Kita umat Nabi Muhammad? Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut
nama Allah, maka daging lembu tersebut adalah halal dimakan.
Bangsa
Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk beribadah pada hari
Sabtu dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan mereka
melakukan tipu daya bagi mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad?
Kita bebas melakukan apa sahaja kerja yang halal pada bila-bila masapun,
asal sahaja kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk mendirikan
solat Fardu lima waktu sehari semalam.
Bagaimana
pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup
dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak
mengulanginya lagi dan benar-benar menyesal di atas segala kesilapan
pada masa lalu di samping melakukan perintah yang diwajibkan Allah
seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa kita
yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan
Allah.
Ini
jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang
melakukan solat Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka
dosanya di antara kedua Jumaat tersebut akan diampunkan oleh Allah,
begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh
keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya pada
masa lalu.
Bagaimana
pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan
mereka menduakan Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah
untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat kita
diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur sekarang menjadi umat
nabi Muhammad?
Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah seperti dari segi penghapusan dosa.
Firman Allah :
Dan
dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua
bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran
dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama
sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang
demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
Surah Hud ( 11 ) : 114
Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah :
Ertinya :
Malah
Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat Fardu lima
waktu kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali sehari
yakni Allah membersihkan sesiapa yang mengerjakan solat dengan
penghapusan dosa-dosa.
Di
samping itu dengan solat juga, bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri
kepada Allah dengan mengucapkan segala pujian seperti tasbih, tahmid
dan juga takbir ketika melakukan qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang tidak terhingga.
Ketiga: Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat
Pernahkah
kita terfikir pabila kita mendirikan solat bagi menjalankan kewajipan
perintah Allah, kita bukan sahaja menerima pahala yang berlipat ganda
dan ditebus segala dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi secara tidak
langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita kecintaan dalam melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani.
Dengan
melakukan solat juga dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita.
Solat menuntut agar setiap muslim, bangun pagi seawal mungkin dan
bersemangat dalam menghadapi tugas-tugas harian sejak menjelang
terbitnya matahari.
Menurut
al-Zahabi: “ Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam
bentuk senaman untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu
melibatkan berdiri tegak ( qiyam )
sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat
pergerakan-pergerakan badan berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan
tenang. “
Rasulullah
SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat
harus dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam
keadaan yang lemah atau malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam
keadaan tenang dan tidak kelam kabut, ini dapat disaksikan dalam
perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya mengulangi solat
yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.
Dengan
ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu
bentuk riadah tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa
dalam memberikan kerehatan jiwa dan juga jasmani manusia melalui
pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti amalan ruku’, i’tidal,
sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi.
Menurut
satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya ke
atas sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya lima
kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding
dengan kumpulan peserta yang meninggalkan solat, selain dapat
meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit
jantung, stres, kolestrol dan lain-lain penyakit.
Keempat: Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri
Solat
yang dilakukan dengan penuh khusyu’ juga dapat menumbuhkan pada diri
mukmin yang melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna
dalam mengharungi segala kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan
seharian kita.
al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau al-Tib:
“Ibadah
solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat
mengurangkan kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat
meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri terhadap
manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan
serta membenci dan sifat balas dendam…Seseorang boleh menemui cara-cara
untuk menyelesaikan masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan
seseorang itu boleh memeriksa diri sendiri terutamanya apabila seseorang
itu benar-benar menghayati solatnya. Waktu yang paling baik ialah –
selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam
keadaan sunyi sepi. “
Ini jelas sebagaimana firman Allah :
“Hai
orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan
sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang
sabar.”
Dengan
ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan
berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah
perbuatan keji dan mungkar.
Firman Allah S.W.T.:
Bacalah
serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari
Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; Surah
al-‘Ankabut ( 29 ) : 45
Kelima: Memberi Keupayaan Mental Dan Kekuatan Dalaman Yang Tinggi
Selain
dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat yang
dapat membantu mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan
kejahatan serta menjauhi perkara maksiat dan juga mungkar, dengan
mengerjakan solat juga akan dapat mengukuhkan moral dan mental seorang
mukmin.
Ini
kerana ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan
ilahi, memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan
ancaman dan seksaan Nya serta sanggup mengatasi sifat-sifat kemalasan
dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat kelemahan manusia yang
lainnya.
Antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit kegelisahan atau Anxiety. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat.
Firman Allah :
Sesungguhnya
manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut);
-Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia
beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang
mengerjakan sembahyang – Iaitu mereka yang tetap mengerjakan
sembahyangnya; Surah al-Ma’arij ( 70 ) : 19-23
Daripada ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah
yang dibaca secara berulang-ulang ini berdasarkan perasaan rindu
kepada-Nya dapat mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta
menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain
itu, ibadah solat juga dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa
mencintai Allah dan Rasul-Nya. Cinta yang mendalam ini akan membuat
jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta takutkan
kebesaran-Nya.
Melalui
ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara
ini dapat memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara
peribadi dengan Tuhan, selain dari dapat meluahkan segala perasaan yang
terbuku dalam hati mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. Ia
juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling atau Psycho Therapy kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi.
Adapun
dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat,
buruk dari segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga
gerakan-gerakan anggota badannya tanpa disertai kehadiran akal dan
kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau impak yang mendalam dalam
pembangunan mental seseorang.
Berbeza jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’
dapat memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada dunia, serta
mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan
kekuasaan.
Malah
menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik
mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih
tenang selepas solat berbanding dengan seorang yang tidak faham
sepenuhnya bacaan semasa solat. Selain menjauhkan jiwa seseorang daripada bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran agama Islam.
Firman Allah:
Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang karena dzikir kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang
Surah al-Ra’ad ( 13 ) : 28
Begitu
juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah : Menurut riwayat
Ahmad, apabila Rasulullah s.a.w. mengalami sesuatu perkara yang
mendukacitakan, Baginda mengatakan,
Apa
yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai
pelbagai kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa
seterusnya dapat merawati segala kekusutan yang menghantui jiwa seperti
penyakit gelisah dan sebagainya.
Nota:
Tulisan ini asalnya salah satu daripada topik bagi tesis sarjana saya,
tetapi terpaksa dikeluarkan bagi meringkaskan tesis. Ia juga sudah
diubah dan ditambah bagi penyesuaian tatapan umum agar tidak terlalu
akademik.
‘Izz Al-Din Abd Al-Aziz bn Abd Al-Salam Al-Sulami ( 1995), Maqasid
al-Solat, c.2, Dimasyq-Syria : Dar al-Fikr, h.11. Lihat dengan lebih
lanjut bagi hubungan antara orang yang mengerjakan solat, hubungan
dengan para Rasul juga dengan seluruh hamba Allah yang soleh pada pada
halaman 11-12 dalam kitab yang sama.
Dr ‘Abd Allah bin Muhammad bin al-Tayyar (2005) al-Solat,
c.11, al-Riyad : Madar al-Watan Li al-Nasyr, h. 22. Sila lihat dalam
kitab yang tentang perbahasan rahsia kebanyakan orang yang mengerjakan
solat tetapi tidak mendapat kesan dalam akhlak mereka.Ibid., h.23.
Fatimah Ibrahim et al (2009), Solat kebaikan dari Perspektif Sains, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, h. 27
Abi Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-Azim Abadi ( 1995 ), Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud,
Kitab al-Adab , Bab Fi Salat al-‘Atmah, no. hadith 4978, j.13 ,
Beyrut-Lubn?n : Dar al-Fikr, h. 269. Hadith ini dinilai sahih oleh oleh muhaqqiq kitab Zad al-Ma’ad iaitu ‘Abd al-Qadir dan juga Syu’ayb al-Arnauth.https://abahyasir.com/2009/07/30/5-sebab-mengapa-kita-perlu-kepada-solat/

No comments:
Post a Comment